Nur Shakinah Dan Keluarga Tidak Mahu Dedahkan Pekara Yang Berlaku Di Perancis
“Bukan semua yang berlaku boleh diceritakan kepada semua, biarlah saya dan Nur Shakinah saja yang tahu.
“Ada hikmah di sebalik kejadian itu, mungkin Allah mahu menguji dia dan kami sekeluarga tapi alhamdulillah semuanya selesai,” itu kata Nur Halizah Ahmad, 43, ibu kepada Nur Shakinah Naim, 19, pelajar tahun pertama Institute University of Technology (IUT) Rouen, Perancis yang menggemparkan negara sebelum ini apabila dilaporkan hilang selama beberapa hari sebelum ditemui selamat.
Nur Halizah berkata, dia dan suami, Naim Awang, 46, berharap anak mereka diberikan peluang untuk berehat dan menenangkan diri dan enggan mendedahkan kejadian sebenar yang berlaku terhadap anak perempuannya itu.
“Jadi, kami sekeluarga memohon kepada semua di luar sana supaya tidak memuat naik atau menulis di media sosial perkara tidak betul mengenai Nur Shakinah.
“Berilah ruang dan peluang kepadanya untuk meneruskan pengajiannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masjid, Tikam Batu di sini, semalam.
Menurutnya, buat masa kini juga, anaknya itu belum bersedia bertemu dengan media.
Naim yang menyuarakan nada sama juga berkata, dia meminta anaknya itu diberi ruang dan masa untuk bertenang sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan pengajiannya.
Katanya, dia dan isteri sentiasa memberi sokongan kepada Nur Shakinah dalam merancang pendidikan dan masa depannya.
“Buat masa ini, Nur Shakinah belum membuat keputusan mengenai perancangannya sama ada ingin meneruskan pengajian atau universiti mana yang akan dipilihnya nanti.
“Pihak JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) ada menghubungi pagi tadi (semalam) yang meminta Nur Shakinah hadir ke Kuala Lumpur, minggu depan bagi mengadakan perbincangan mengenai pengajiannya di negara ini.
“Saya dan isteri menunggu hasil perbincangan Nur Shakinah dengan JPA dan setakat ini, tidak pasti jurusan apa yang akan diambilnya atau kekal dengan jurusan yang ada sekiranya dia menyambung pelajarannya nanti,” katanya.
- Akhirnya Punca Nur Shakinah Hilangkan Diri Di PerancisTerjawab.
- Ke Mana Nur Shakinah Sepanjang Tempoh Hilang? Apa Yang Berlaku Terhadapnya? Siapa Yang Ditemuinya?
Menurutnya, mereka sekeluarga juga menyerahkan kepada perbincangan itu dan tidak akan memaksa anaknya itu.
“Kami tidak mahu memaksanya dan menerima sebarang keputusan dibuatnya. Alhamdulillah, buat masa ini dia masih berehat dan tenang, dia juga dibawa mendapatkan rawatan perubatan Islam sebaik pulang dari Perancis, dua hari lalu,” katanya

0 comments:
Post a Comment