Klang – Menangis teresak-esak sambil menghentakkan kepala ke tanah. Itu gelagat seorang penagih dadah wanita yang cuba menahan ‘gian’ selepas dicekup di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Serdang, Kapar, di sini, semalam.
Difahamkan, suspek berusia 29 tahun yang hamil empat bulan itu satu-satunya wanita yang ditahan dalam Op Sarang dijalankan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, bermula jam 6 pagi.
Selain ‘lalok’, sebahagian daripada 12 penagih berusia 29 hingga 53 tahun cuba meloloskan diri ke dalam semak namun ditahan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Nor Omar Sappi berkata, serbuan dijalankan hasil risikan pihaknya sejak dua bulan lalu.
“Selain penahanan 13 suspek, kita merampas 17 gram heroin daripada dua penagih dan ia dipercayai untuk dihisap secara beramai-ramai di kawasan berkenaan.
“Siasatan polis turut mendapati hampir semua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya penagih itu turut terbabit dengan pelbagai jenayah termasuk pecah rumah.
Nor Omar berkata, semua suspek dibawa ke IPD Klang Utara bagi membantu siasatan

0 comments:
Post a Comment