Lelaki Ditahan Kerana Berbogel Dalam Pesawat, Ganggu Kru.
Seorang lelaki menimbulkan kekecohan dalam pesawat apabila berbogel di dalam tandas dan meminta pembantu kabin membantunya keluar.
Insiden itu berlaku dalam pesawat IndiGo dari Bhubaneswar ke New Delhi sebulan lalu.
"Ketika penerbangan, seorang penumpang lelaki memberitahu kru dia tidak tahu memasang tali pinggang keselamatan. Kru membantunya dalam hal itu.
"Penumpang itu kemudian pergi ke tandas dan membunyikan loceng meminta bantuan. Kru segera pergi untuk membantu tetapi melihat beliau dalam keadaan bogel dan pramugari berkenaan dengan baik meminta lelaki berkenaan bersopan ketika menggunakan tandas," menurut kenyataan syarikat penerbangan.
Penumpang terbabit keluar dari tandas tetapi meneruskan tingkah laku tidak sopan itu.
Ketika meminta penumpang bersedia untuk mendarat, lelaki berkenaan mengeluarkan perkataan tidak menyenangkan terhadap kru perempuan.
Wanita itu kemudian memaklumkan kepada kapten yang memberitahu agensi keselamatan di New Delhi.
Sebaik mendarat, lelaki itu diiringi keluar dari pesawat dan diserahkan kepada polis.
"Laporan sudah dibuat di balai polis di New Delhi. Perkara itu sedang disiasat.
"Kepuasan pelanggan adalah teras perniagaan kami tetapi sebarang tindakan tidak diingini memberi risiko kepada keselamatan kru dan penumpang lain, justeru kami mengambil tindakan untuk menangani masalah ini," kata IndiGo

0 comments:
Post a Comment