KANGAR – Hanya kerana tidak berpuas hati isterinya berambut pendek, seorang lelaki tergamak menumbuk wanita itu sehingga cedera di bahagian muka dan kepala di rumah mereka di Kuala Perlis dekat sini.
Perbuatan kejam suspek berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu akhirnya berbalas apabila dia diberkas polis di rumahnya pukul 8 pagi semalam, setelah dua hari menghilangkan diri selepas insiden yang berlaku pada 15 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, suspek yang baru pulang daripada bekerja dikatakan berang apabila melihat isterinya berusia 29 tahun dan tidak bekerja, berambut pendek.
Menurut jurucakap polis, wanita itu memberi alasan memotong rambut kerana berasa was-was hendak menunaikan solat setelah mewarnakan rambutnya.
Katanya, suspek lalu mengarahkan mangsa ke tandas untuk membasuh rambutnya, tetapi sebaik sahaja berada di situ, wanita terbabit telah ditendang beberapa kali di bahagian kaki selain ditumbuk di bahagian muka.
“Berikutan itu, mangsa mengalami bengkak dan lebam di bahagian mata kanan, belakang bahu kanan serta luka di bahagian lutut kanan dan terpaksa dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya.
Kata jurucakap itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kangar pada 17 Disember lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Suspek yang berjaya ditangkap setelah dua hari menghilangkan diri, direman bermula hari ini dan ujian air kencing mendapati dia turut positif maphetamine,” kata beliau.-Utusan
0 comments:
Post a Comment