Hasrat seorang wanita, Rosemere do Nascimento Silva, dari Sao Paulo, Brazil untuk mengejutkan bakal suaminya dengan menaiki helikopter menuju ke majlis perkahwinan mereka tidak kesampaian apabila helikopter tersebut terlibat dalam nahas hingga mengorbankannya.
Helikopter itu terhempas beberapa minit sebelum majlis perkahwinan yang dihadiri 300 tetamu itu bermula.
Nahas terbabit turut membunuh tiga yang lain iaitu abang Rosemere, Silvano Nascimento da Silva, juruterbang, Peterson Pinheiro serta jurugambar perkahwinannya, Nayla Cristina Neves yang sedang mengandung enam bulan.
Sementara bakal suaminya, Udirley Narques Damasceno, 34, dimaklumkan mengenai tragedi terbabit ketika dia sedang berdiri di atas altar. Udirley dilaporkan mengalami kejutan yang amat sangat susulan berita menyedihkan itu.
Menurut perancang perkahwinan itu, Carlos Eduardo Batista, dia terpaksa memaklumkan kepada paderi mengenai berita sedih itu.
“Udirley sangat terkejut dan tidak dapat berkata-kata, ketika dia sedang memahami apa yang berlaku. Dia sangat-sangat kecewa dan sedih,’’ katanya.
Helikopter Robinson R44 itu terhempas di dalam kawasan hutan, berhampiran padang bola iaitu tempat di mana ia sepatutnya mendarat.
Ia dipercayai merempuh pokok, ketika cuaca berkabus. Sebanyak lapan jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian, namun mereka gagal menyelamatkan mangsa.-The Kuala Lumpur Post
0 comments:
Post a Comment